Seiring bergeraknya waktu, terasa saat kematianku hampir tiba. Maka, sujudlah insan kerdil ini mencari redha Yang Maha Berkuasa. Yang suatu ketika insan ini terlalu hanyut dengan kehidupan dunia. Islamnya hanya sekadar pada nama. Solat, yang merupakan tiang agama umat Islam ditinggalkan sahaja. Bukan tidak menyedari bahawa dia telah meruntuhkan tiang agamanya. Tapi, kerana hati dan jiwa telah diserahkan kepada dunia, maka keinsafan itu terbit di hatinya hanya seketika.
Dia bukan manusia yang suka bersosial. Dia tidak pernah menyentuh atau meminum sesuatu yang haram. Dia tidak pernah mengunjungi tempat yang dilarang oleh agamanya. Tetapi, dia hanyut dalam dunia ciptaannya sendiri. Pada penglihatan orang di sekelilingnya. Dia adalah anak yang baik, anak yang solehah, anak yang mendengar kata, tidak pernah berlawan kata dengan orang tuanya. Tetapi siapa tahu disebaliknya dia memendam segala rasa. Dia terkurung dalam kegelapan dunia sementara, jiwanya kosong, hatinya kontang. Tiada sesiapa yang menarik tangannya untuk keluar dari kegelapan itu.
Tetapi, pada saat dia tersedar dan yang menyedarkannya adalah Tuhannya. Maka, dia kembali bertemu cahaya. Dia mampu mempamerkan senyuman riang pada insan di disampingnya. Dan dia selalu berusaha untuk kekal di dalam cahaya itu. Tetapi ujian Allah itu, tiada siapa boleh menolaknya. Pada saat dia merasakan Imannya sudah kuat. Allah terus menguji dirinya, dan ternyata dia insan lemah yang mudah terpesona dengan diri sendiri. Maka, dia kembali jatuh dalam perigi kegelapan dunia sementara.
Walau jatuh dan bangunnya dalam mencari jati dirinya sendiri. Dia tidak pernah berputus asa untuk terus bangun, berdiri dan terus berlari dalam mengejar cinta Ilahi. Walau berkali-kali dia tenggelam dalam kegelapan, insan fakir ini tidak pernah menguburkan impiannya untuk meletakkan cinta Allah cinta teragung di dalam lubuk hatinya yang paling dalam. Dia selalu mengatakan "bukan ini yang aku mahu, aku tidak pernah bermimpi untuk menjadi hamba dunia. Yang aku mahu, menjadi hamba Tuhan Yang Esa".
Saat ini, dia masih tegar berusaha mendekati cinta Ilahi.
"Ya Allah, pimpinlah tanganku untuk terus kekal berada pada landasan cinta-MU. Jangan biarkan aku terus jatuh dalam kegelapan dunia sementara. Aku tidak mahu menjadi hamba dunia selamanya. Tenggelamkan aku dalam cinta-MU Robbi". Amin.
No comments:
Post a Comment